≡ Menu

Review Geely Boyue Facelift : Kembar Proton X70 di Malaysia

Review Geely Boyue Facelift : Jelmaan Proton X70 di Malaysia

Seperti yang semua orang tahu, model kereta dan harga proton x70 baru di malaysia yang bakal menemui jalan raya selang beberapa minggu sahaja lagi adalah berasaskan dari Model Geely Boyue Facelift. Walaupun terdapat suara-suara sumbang yang sudah menjadli stigma pemikiran masyarakat dengan produk keluaran dari negara China, faktanya adalah Boyue Facelift 2018 ini adalah kenderaan segmen SUV terlaris di China pada tahun 2017 dengan jualan sebanyak 286,900 unit!

kereta geely boyue

Berapa agaknya harga x70 di Malaysia

Mungkin ada yang berkata jumlah jualan tidak mencerminkan kualiti dan mungkin rakyat negara China sememangnya patriotik terhadap kenderaan keluaran mereka. Sekali lagi faktanya adalah rakyat negara China lebih cerewet mengenai kualiti dan kemasan kereta berbanding rakyat di negara kita sehinggakan pengeluar-pengeluar kenderaan di China terpaksa mengikut permintaan mereka.

Dan hasil dari kerjasama dengan Beijing Xing Yuan Auto Co. Ltd, kami telah berpeluang untuk menguji kenderaan-kenderaan keluaran dari Negara China termasuklah Geely Boyue Facelift 2018 ini. Baiklah, ulasan dan pendapat yang kami utarakan ini tidak bersifat bias dan sejujur-jujurnya ini adalah apa yang telah kami rasai melalui pengalaman mengasak Geely Boyue 2018 ini di Litar Mercedez Training Center di Beijing, China.

Review Berita Semasa Bagi Model Geely Boyue

Bermula dari kuasa dan transmisi, Geely Boyue yang dipandu uji oleh kami ini dihadirkan dengan enjin 1.8 TGDi Turbo-Charged 4 Silinder bertransmisikan 6-speed automatik yang menghamburkan kuasa sebanyak 181HP dan mempunyai kuasa tork sebanyak 285Nm.

Sekiranya dibandingkan dengan kenderaan compact SUV selainnya iaitu Honda HR-V dan juga Mazda CX5, di atas kertas pastinya Geely Boyue ini mempunyai kelebihan. Namun, sifat kami, apa yang diatas kertas belum mampu menterjemahkan kebenaran jadi kami menguji sepuas-puasnya Geely Boyue ini terutama dari segi responsif dan kuasa yang dihamburkan.

Rekaan Luaran Dan Dalaman Serta Teknologi

Pertama kali menaiki dan menguji Boyue 2018 ini, apa yang dapat kami simpulkan dari segi kemasannnya adalah sederhana, tidak terlalu mewah dan juga tidaklah nampak seperti kemasan yang murah. Kenderaan ujian kami merupakan varian yang paling Premium jadi kemasannya adalah sangat baik dengan Kulit Nappa yang sangat selesa disertakan juga dengan suis Elektronik untuk mengubah kedudukan kerusi. Satu ciri eksklusif yang sepatunya menjadi kebiasaan pada SUV masa kini.

Dari segi paparan, terus-terang kami katakan ianya sangat menarik perhatian dengan interaktif dan teknologi yang digunakan dalam Boyue Ini dan kami pernah perhatikan digital animasi paparan ini seperti di Volvo. Tapi tak hairanlah kerana Geely juga merupakan pemegang saham utama Volvo! Segala kemasan pada pintu dengan Door-Handle yang unik juga amat menarik dengan flow design di dalam kabin Boyue ini. Stereng pula nampak sporty dan seakan memberitahu bahawa kenderaan ini boleh dibawa secara lasak. Kami sebenarnya agak terkejut dengan rasa 
“mewah dan mahal” berkenaan kemasan dan kualiti dalam kereta Boyue ini dan kami pasti anda semua akan bersetuju dengan pendapat kami sekiranya anda berpeluang menguji Proton X70 kelak.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin 8 inci dengan 4G, Air Purifier, Penghawa Dingin Penumpang, Lampu dan wiper Auto, Fungsi Eco Mode dan Sport Mode pemanduan, Push Start Engine, serta fungsi Voice Recognition Support seperti didalam video Perdana Menteri yang tular di Youtube tidak lama dulu.

Selain itu, kenderaan uji kami juga dibekalkan dengan Panoramic Roof dan di sini ingin kami beritahu bahawa kebanyakan kenderaan di China, hampir 98 peratus kami perhatikan menggunakan Panaromic Roof dan ini seolah-olah satu fungsi yang wajib. Mungkin rakyat di China gemar akan fungsi ini.

Ciri-ciri mewah yang hadir juga dalam kenderaan uji kami juga mempunyai fungsi Kamera 360 darjah yang akan menunjukkan visual 3D halangan di sekeliling kereta selain kamera hadapan yang diletakkan di cermin atas pemandu bagi fungsi Driver Assist System. Ini bertujuan untuk membolehkan fungsi Autonomous Emergency Braking dan Adaptive Cruise Control berfungsi. Selain itu, ianya juga dibekalkan dengan fungsi Blind Sport Monitor di cermin sisi kenderaan dan kami merasakan, sistem ini adalah sangat baik untuk diaplikasikan kepada mana-mana kenderaan selepas ini.

Keselesaan Ruang Dalam

Ruang kaki juga agak besar dan selesa. Sekiranya anda berketinggian lelaki asia sekitar 5 kaki 8 inci, pastinya ia tiada masalah mengenai ruang kaki dan ruang dalaman Boyue ini.

Selain itu, unit Air Cleaner berada di atas penghawa dingin penumpang belakang di antara tempat duduk pemandu dan dibekalkan juga dengan 2 ruang USB bagi bahagian penumpang belakang dan depan. Jangan terkejut pula sekiranya melihat paparan digital Tyre Pressure Monitoring System di Proton X70 kelak kerana Boyue yang kami pandu uji ini dibekalkan dengan fungsi tersebut dan ProtonX70 juga diberitahu akan menpunyai fungsi yang sama nanti.

Dari apa yang dapat kami simpulkan mengenai kabin, kemasan dalaman, serta design luaran depan dan belakang Geely Boyue ini, ciri-ciri sporty tidak dapat kami nafikan malah agak menarik juga pada perhatian kami. Ciri-ciri dan jalur Eropah yang diterapkan dalam design Boyue ini nampak seperti kenderaan yang premium dan mahal. Tak nampak langsung kenderaan ini merupakan hasil buatan syarikat China!

Hasil Pandu Uji Kereta Geely Boyue

Suasana di Litar Mercedez Training Center di Beijing agak dingin dengan jalan yang agak sedikit basah mungkin kerana disebabkan hujan dan cuaca pada ketika itu agak mendung dengan suhu 20’C. Kami diberitahu bahawa Tayar jenis Hankook Dynapro HP2 berprofil 225/60 R18) digunakan pada Boyue ini namun itu tidak sedikitpun mengurangkan resah kami.

Ada 4 jenis ujian dijalan iaitu :

  1. ujian Slalom,
  2. ujian Full Speed
  3. ujian Braking
  4. ujian Ujian Selekoh.

proton x70Kami juga berpeluang untuk menguji bebas Boyue ini selama beberapa jam di litar tersebut.

Pertama kali menginjak pedal di Litar untuk bermula, kuasa yang dirasakan agak linear dan tiada apa-apa yang menarik pada mulanya. Namun kami agak terkejut juga dengan suasana sunyi di dalam kabin. Nampaknya Boyue ini amat kemas sekali pembuatannya sehingga bunyi dari luar amatlah minimum.

Masuk ke ujian slalom, kami membuat ujian dengan lasak untuk melihat elongan dan keutuhan body dan casis serta kadar responsif enjin dan stereng. Pujian yang amat tinggi adalah yang sepatutnya kami hamburkan pada Geely Boyue ini kerana tindak balas dan respon serta elongan body Geely ini adalah sangat minimum dan boleh kami katakan anda bakal berasa yakin bila membawa Boyue ini melalui halangan. Cuma apa yang kami rasakan adalah mungkin stereng agak terasa ringan tetapi ianya adalah lebih bersifat peribadi. Dengan teknologi Drive Proton, Proton X70 nanti kami pasti pemanduan akan terasa lebih jitu dan rasa seperti kuasa berada di tangan.

Kuasa Geely Boyue Mengagumkan

Seterusnya adalah ujian Acceleration Full Speed dan Hard Brake. Ini merupakan antara ujian yang kami suka. Tanpa membuang masa, sebaik sahaja kaki memijal pedal, nahhhh! Kuasa yang dihamburkan sama sekali memeranjatkan kami. Tidak kami sangka pickupnya sangat kuat dan sekejap sahaja papan digital menunjukkan 120Km/H! Kuasa yang dikeluarkan oleh enjin 1.8 TGDi ini betul betul berkuasa dan sangat responsif! Daripada kelajuan tersebut, kami terus menghentam pedal brake bagi menghentikan kenderaan ini serta-merta dan sekali lagi kami terkejut dengan kuasa hentian yang sangat jitu. Tidak langsung Boyue ini beralih ke kiri atau ke kanan mahupun beroleng-oleng. Dengan berat sebanyak 1,745 kg, dan lebar 1,831mm serta tinggi boyue 2018 ini 1,694mm, ianya lebih berat dan lebih tinggi berbanding Honda CR-V iaitu 1,593 kg, namun kuasa yang dirasakan amat baik dan langsung tidak terasa “berat” ketika memecut Boyue ini. Kuasa hentiannya juga amat baik dengan keadaan litar yang agak basah. Kalau litar yang sedikit basah Boyue 2018 Facelift dapat berhenti dengan baik sekali, apatah lagi jika dalam keadaan jalan yang kering dan panas. Mungkin ada yang akan berkata kemungkinan tayar yang diberikan juga membantu penghentian yang baik, dan kami tidak mengenepikan pendapat tersebut, tapi keutuhan body dan juga kadar olengan minimum serta g-Force semasa berhenti dengan laju amatlah memberangsangkan. Ibarat membawa kereta BMW atau Mercedez Benz!

Seterusnya adalah ujian selekoh tajam adan ini juga merupakan diantara ujian yang kami minati. Mengambil selekoh dengan laju dalam kelajuan 100km/h, langsung tidak terasa Boyue ini membuang atau tayarnya berdecit. Setiap satu selekoh juga enjin akan responsif untuk memecut keluar dari selekoh dan ini patut diberi pujian. Tak terasa pula Boyue 2018 Facelift ini adalah kenderaan SUV langsung! Body Roll sangatlah minimum dan pemanduan terasa yakin dan garang di setiap selekoh.

Kami berpeluang menguji Boyue 2018 Facelift ini selama beberapa pusingan oleh kerana tidak puas hati dengan apa yang kami andaikan pada pertama kali. Namun setelah menguji beberapa kali, akhrinya kami berpuas hati dan membuat keputusan bahawa Geely Boyue Facelift 2018 ini adalah kereta terbaik dari pengeluar kenderaan China yang kami uji pada hari tersebut.

Dan rakyat dan pengguna di Malaysia beruntung mendapat peluang merasai sendiri ‘kuasa’ Proton X70 kelak

Untuk pengetahuan anda, keutuhan body dan casis geely Boyue Facelift 2018 ini amatlah memeranjatkan kami. Bottom Guard yang dibekalkan pada Geely Boyue ini adalah dari plastik dan ianya agak nipis jadi untuk mengharapkan Body Guard ini melindungi masalah “Bottom Scratching” adalah minimum dan fungsi utama nya pada pendapat kami adalah lebih kepada “Dust-Proof” dan pengalihan udara sahaja.

Namun ianya tidak menjadi masalah sekiranya ia ditukarkan dengan Bottom Guard Aftermarket yang dibuat daripada besi atau aluminum ataupun plastik yang lebih tebal seperti yang terdapat didalam model VW Tigual L dan kami pasti pada proton X70 nanti perkara ini akan dititikberatkan bersesuaian dengan keadaan jalan raya di Malaysia. Hehe.

Casis Boyue ini menggunakan teknologi Full-Framed Subframe di mana ianya memberi kelebihan dari segi keutahan casis. Jadi, inilah faktor utama kenapa kami merasakan Geely Boyue ini sangat utuh dalam ujian yang kami lakukan. Sebagai perbandingan, VW Tigual L menggunakan All-in One Subfame yang lebih mengutamakan Road Sensibility.

Tidak ada masalah apa pun dengan casis atau frame yang digunakan dan seperti VW Tiguan L, kita tahu di German kebanyakan jalan adalah lebuh raya jadi penggunaan All-in One subframe adalah lebih bersesuaian. Manakala, casis Full Frame pada Geely Boyue ini lebih bersesuaian dengan jalan di negara China dan dan terutama sekali di jalan-jalan yang agak teruk di Malaysia.

Lower control Arm pula menggunakan teknologi Double layer Stamping yang pada kami lebih kukuh daripada Single Layer Stamping. Sistem Mcpherson digunakan dalam pengendalian Geely Boyue ini dan dilengkapi dengan sistem All-Wheel-Drive (AWD), pemanduannya kami boleh katakan terbaik bagi apa sahaja jenis permukaan jalan dan halangan.

5 Bintang Ujian C-NCAP

Geely Boyue ini juga mendapat pengiktirafan 5 bintang bagi keselamatan dalam ujian C-NCAP dan ini sudah pasti memberikan keyakinan yang lebih lagi terhadap aspek dan ciri-ciri keselamatan Geely Boyue ini.

Rumusan Geely Boyue aka Proton X70

Peter Horbury, bekas Timbalan presiden Unit Design di Volvo yang dipertanggungjawabkan untuk mereka bentuk Geely Boyue, telah melaksanakan hasil kerja yang sangat kemas dan mewah. Geely Boyue ini hadir dengan ciri-ciri yang biasanya kita lihat dalam rekabentuk mewah kenderaan daripada pengeluar kereta-kereta eropah.

Ciri-ciri antarabangsa dalam rekabentuk ini sudah pastinya tidak mengecewakan. Hasil pengambilhan volvo oleh Geely juga berjaya membuahkan hasil dan kami pasti terdapat seberapa banyak ciri-ciri dan teknologi yang dapat di gunakan pakai untuk menjadikan Geely sebagai peengeluar kenderaan terkemuka.

Dan di antara hasilnya dapat dilihat terhadap Geely Boyue Facelift 2018 ini. Dari segi teknologi, kemasan, prestasi, tidak takut untuk kami mengatakan bahawa level nya sudah sama atau mungkin sudahpun melepasi level kenderaan keluaran dari Jepun dan Korea. Hanya sedikit sahaja jaraknya dengan kualiti kereta dari Eropah dan itupun hanya dari segi material pembinaan serta teknologi casis yang digunakan. Namun kalau dah guna Full Carbon Fiber atau Full Aluminum harga dah tentu melonjak pula.

Dari pengamatan kami, teknologi pembuatan kenderaan China sudah melepasi jangkaan. Kami berikan 5 tahun lagi dan kami yakin kenderaan dari China akan boleh duduk sebaris mahupun berada di atas pengeluar kereta yang lebih gah seperti BMW, Mercedez, dan sebagainya. Ini dah pun dibuktikan dengan Geely Boyue. Itu pun sekiranya masalah persepsi barangan “Made in China” dapat diatasi oleh pengeluar-pengeluar kereta dari China

Apa-apapun, pandu uji yang kami lakukan kepada Geely Boyue ini memadamkan segala persepsi kami terhadap kualiti kenderaan buatan China dan membuka mata kami bahawa betapa majunya teknik pembuatan dan juga teknologi kenderaan dari China ini yang kami rasakan padang permainanannya sudah setaraf atau melepasi kenderaan Honda, Toyota, Hyundai dan sebagainya.

Kami berterima kasih kepada Beijing Xingyuan Automotive Information Technology Co. (Xingyuan Auto) kerana sudi menjemput kami untuk memandu uji kenderaan Geely Boyue ini lebih awal sebelum model yang sama Proton X70 di Malaysia dilancarkan. Penghargaan oleh kerana kami dibenarkan untuk membelasah Geely Boyue ini secukupnya bagi membuktikan bahawa buatan dan prestasi kenderaan dari China jauh lebih maju berbanding sebelumnya. Baiklah, ini bagi kategori SUV. Bagaimana pula dengan kategori Sedan B Segmen yang mempunyai market yang besar di Malaysia? Adakah kereta dari China yang mampu memberikan saingan kepada Toyota Vios, Honda City dan Nissan Almera? Tunggu…

P.S. Satu aspek ketilitian di Geely Boyue Facelift 2018 ini adalah sekiranya anda membuka pintu pada waktu malam, akan kelihatan logo Geely di atas permukaan jalan. Adalah lebih baik juga dikekalkan nilai astetika ini pada varian premium Proton X70 kelak.