≡ Menu

Mengapa Ramai Rakyat Malaysia Kerja di Luar Negara?

Mengapa Ramai Rakyat Malaysia Kerja di Luar Negara?

Sekarang ini tidak boleh dinafikan lagi yang mana orang kita rakyat Malaysia lebih berminat untuk kerja di luar negara berbanding di negara sendiri.

kerja di luar negara

Rata-ratanya beranggapan  ini merupakan soal gaji lumayan yang bakal diperolehi mereka apabila kerja di luar negara.

Angkanya bukan sedikit iaitu sekitar 785,000. Itu belum termasuk lagi lebih 100,000 yang sudah menukar kewarganegaraan.

Rakyat Malaysia Kerja di Luar Negara? Mengapa? Punca?

Kalau diikutkan statistik daripada kementerian di mana orang Melayu sendiri adalah yang paling ramai berhijrah dan kerja di luar negara. Kenapa mereka sanggup tinggalkan negara sendiri dan meredah hidup di rantau orang? Sebab?

Tak payah jauh pun, kawan Berita Semasa sendiri yang kerja di luar negara di Brunei pernah beritahu yang mana elaun, pendapatan dan gaji lumayan yang diterimanya adalah faktor utamanya bertindak sedemikian. Jikalau company di sana boleh menawarkan tawaran gaji 3-4 kali ganda daripada apa yang diperolehi di Malaysia, siapa yang tidak mahu ambil peluang ini untuk kerja di luara negara bukan?

Kawan Berita Semasa pekakkan telinga sahaja apabila dikatakan tidak mengenang jasa negara, bla…bla…bla. Yang pentingnya, at the end of the month dia dapat apa yang dia impikan untuk kehidupannya pada masa depan. Itu kata kawan. Bagaimana pula yang lain?

Bagi mereka, mungkin ini jalan yang terbaik untuk masa depan mereka sendiri. Tidak salah rasanya nak tinggal dan kerja di luar negara hatta sampai 20 tahun pun, yang pentingnya ilmu dan pengalaman yang dikutip di sana dapat dikongsikan akhirnya dengan masyarakat di sini.

Bagi Berita Semasa sendiri sememangnya menyokong sesiapa yang ingin kerja di luar negara dengan tujuan menambah pendapatan dan juga pengalaman, asalkan tidak lupa kepada tanahair sendiri, Malaysia yang tercinta dan satu lagi jangan sesekali menyerahkan kerakyatan.

Itu statistik dahulu. Bagaimana dengan situasi sekarang kalangan yang kerja di luar negara? Apa yang lebih memeranjatkan ialah berdasarkan statistik itu, orang Melayu adalah kaum paling ramai yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia dan kerja di luar negara.

Hanya 25,107 orang Cina dan 1,347 orang daripada kaum India yang berbuat demikian pada waktu yang sama. Orang Melayu adalah 70 peratus bilangan mereka yang berhijrah dan kerja di luar negara. Destinasi paling popular ialah Amerika Syarikat (AS) Australia dan New Zealand bagi orang Melayu untuk kerja di luar negara.

Tidak seperti penghijrah dari negara miskin dan mundur yang mencari nafkah untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka, orang Melayu yang berhijrah rata-rata merupakan golongan yang berjaya. Mereka terdiri daripada golongan berada atau profesional.

Orang Melayu yang miskin tidak akan menggugurkan kerakyatan mereka semata-mata untuk kerja di luar negara.

P/S : Cuma Berita Semasa ingin pendapat daripada kalangan pembaca di sini, apa sebabnya orang Malaysia berminat kerja di luar negara. Mungkin anda boleh kongsikan pandangan anda di sini.

PP/S : Di bawah ini dikongsikan laporan berita mengenai statistik terkini kalangan rakyat Malaysia yang kerja di luar negara

79,199 Melayu lepaskan kerakyatan
Sunday, 15 July 2007 07:14am
©Berita Minggu (Digunakan dengan kebenaran)

DATUK Y seorang ahli perniagaan yang agak berjaya. Beliau kini berusia 54 tahun. Beliau membuat keputusan untuk menjual perniagaannya dan berhijrah ke United Kingdom (UK) dua tahun lalu. Beliau membuat keputusan itu kerana dua orang anaknya kini sudah bekerja, seorang di Sydney, Australia dan seorang lagi di Hong Kong. Dua yang lain masih menuntut, seorang di sebuah public school terkenal di London dan seorang di salah sebuah universiti di Wales.

DATIN M bercerai dengan suaminya lima tahun yang lalu apabila Datuk S mengahwini seorang gadis jelita. Datin M membuat keputusan untuk meninggalkan Malaysia bersama-sama tiga anaknya ke Melbourne, Australia. Beliau boleh hidup agak selesa kerana pembahagian harta sepencarian yang agak lumayan ekoran penceraian itu. Seorang anaknya sudah bekerja, dua yang lain masih menuntut di universiti, di Brisbane dan Melbourne.

LJ memilih untuk berhijrah ke Auckland, New Zealand enam tahun yang lalu. Dia seorang akauntan yang mendapat pendidikan di Auckland. Pada mulanya dia hanya mahu bekerja di Auckland selepas menamatkan pengajiannya, untuk mencari pengalaman. Selama tiga tahun beliau bekerja di Auckland kemudiannya pulang ke Malaysia. “Saya hilang punca di KL,” katanya. Dia kembali ke Auckland tiga tahun kemudian. Setelah mengahwini seorang wanita berkulit putih dia merasakan tidak ada keperluan lagi untuk pulang ke Malaysia. Dia kini menjadi warganegara New Zealand.

Tiga orang manusia di atas adalah sebahagian daripada 79,199 orang Melayu yang melepaskan kewarganegaraan Malaysia dari tahun 1996 hingga April tahun ini. Itulah angka memeranjatkan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho baru-baru ini. Orang Melayu melepaskan kewarganegaraan mereka? Satu ketika dahulu, hal ini pelik dan pasti menggemparkan.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah berdasarkan statistik itu, orang Melayu adalah kaum paling ramai yang melepaskan kewarganegaraan mereka. Hanya 25,107 orang Cina dan 1,347 orang daripada kaum India yang berbuat demikian pada waktu yang sama. Orang Melayu adalah 70 peratus bilangan mereka yang berhijrah. Destinasi paling popular ialah Amerika Syarikat (AS) Australia dan New Zealand bagi orang Melayu.

Bagi Datuk Y, keputusan itu tidak mudah. “Saya sayangkan Malaysia, dan terhutang budi, keluarga dan saudara mara saya semuanya di Malaysia.” Kenapa berhijrah? Beliau memberikan alasan pendidikan untuk anak-anak dan peluang pekerjaan mereka sebagai alasannya. “Saya bekerja selama ini untuk mereka, saya mahukan yang terbaik untuk mereka.”

Alasan Datin M untuk berhijrah mungkin lebih mudah diterima. Beliau memberitahu saya alasan utamanya kerana “membawa hati yang luka.” Katanya, “Saya mahu pergi jauh dari apapun yang mengingatkan saya pada masa lalu.” Mengapa tidak tinggal sebagai warganegara Malaysia tetapi bermaustatin di Australia? “Saya mengikut suara hati anak,” katanya. “Mereka fikirkan masa depan.”

Bagi LJ, terlalu banyak yang tidak kena mengenai Malaysia. Namun demikian, beliau menyedari potensi yang ada pada negara asalnya. Tapi beliau merasakan bakat dan kemampuannya tidak dihargai. Terlalu banyak yang menyebabkan dia kecewa – dari isu pilih kasih, etika profesionalisme, amalan perniagaan hinggalah situasi politik. Beliau hanya mahu “pergi jauh dan mencuba nasib di tempat orang.”

Ada sesuatu yang disebutkan oleh Datuk Y yang membuatkan saya berfikir panjang. “Di manapun saya berada, saya tetap orang Melayu dan Islam. Saya tidak kurang Melayu kerana saya tidak berada di dalam kelompok orang Melayu,” katanya.

Keselesaan hidup, soal pendidikan, masalah rumah tangga, perkahwinan, tarikan profesionalisme dan peluang masa depan adalah di antara sebab utama orang Melayu berhijrah ke tempat lain. Fenomena ini berlaku hanya dalam waktu beberapa dekad yang lalu. Sebahagiannya kerana kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang melahirkan golongan ahli perniagaan Melayu yang berjaya. Juga yang telah memungkinkan berlaku mobiliti sosial di kalangan orang Melayu. Paling penting ialah dasar pendidikan kebangsaan telah memberikan peluang pada anak-anak Melayu menjadi profesional dalam pelbagai bidang selain menambah dengan banyaknya golongan ini di dalam masyarakat Melayu. DEB juga memberikan keyakinan baru pada orang Melayu yang selama ini hidup dalam kokon keselesaan mereka.

Apa yang berlaku ialah orang Melayu mulai berani mencuba nasib di tempat lain. Mereka bukan saja berniaga dan bekerja tetapi sebahagian daripada mereka berani melepaskan kewarganegaraan Malaysia untuk tinggal terus di negara asing. Mereka boleh memberikan pelbagai alasan mengapa mereka berbuat demikian. Apa yang lebih penting ialah orang Melayu sudah menjadi sebahagian daripada arus migrasi global yang berlaku di dunia tanpa sempadan hari ini.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 190 juta penghijrah antarabangsa pada 2005 saja, atau tiga peratus penduduk dunia. Namun demikian 97 peratus penduduk dunia masih tinggal di tanah tempat mereka dilahirkan. Definisi “migrant” yang diguna pakai ialah mereka yang berpindah ke negara lain untuk jangka masa kekal atau panjang, bukan sebagai pelancong atau pengunjung atau pekerja (expatriates). Sasaran penghijrah ini ialah negara maju di Eropah, AS serta Australia dan New Zealand.

Tidak seperti penghijrah dari negara miskin dan mundur yang mencari nafkah untuk memperbaiki kedudukan ekonomi mereka, orang Melayu yang berhijrah rata-rata merupakan golongan yang berjaya. Mereka terdiri daripada golongan berada atau profesional. Orang Melayu yang miskin tidak akan menggugurkan kerakyatan mereka semata-mata untuk bekerja di luar negara.

Soal ini patut kita fikirkan dengan serius. Kita bukan saja kehilangan orang Melayu yang berada tetapi juga kalangan profesional yang begitu sukar kita lahirkan. Apa yang lebih merunsingkan ialah berlaku ‘brain drain’ di kalangan orang Melayu pada masa ini. Memang kita mengakui banyak kalangan profesional dari kaum lain yang bekerja di luar dan yang menjadi warganegara di tempat baru. Tetapi mengapa hal ini berlaku pada orang Melayu? Apa yang rahsia sebenar di sebaliknya?

Saya percaya bukan isu gaji atau peluang saja yang menyebabkan perpindahan orang Melayu. Pastilah ada faktor lain yang menyebabkan mereka berbuat demikian. Selama ini kita bersusah payah melahirkan kelompok profesional sejak DEB bermula lagi. Tetapi malangnya apabila mereka berjaya, mereka berhijrah ke tempat lain.

Saya tidak begitu cemas jikalau Datuk Y atau Datin M membuat keputusan demikian. Mereka orang mampu dan mahu menikmati hidup selesa di penghujung hayat mereka. Tetapi LJ ialah sebahagian daripada masa depan kita. Kita memerlukan LJ untuk bangsa dan negara. Kita mengharapkan generasi baru ini menjadi penjana pada kemajuan masa depan. Kita mahukan mereka menjadi penggerak pada pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi. Pendeknya kita memerlukan mereka untuk mempercepat proses menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Saya ingin mencadangkan satu kajian menyeluruh dilakukan untuk melihat fenomena merunsingkan ini. Bagi saya 79,199 orang bukan angka yang kecil. Kita tidak tahu berapa ramai lagi yang memilih untuk berbuat demikian pada masa akan datang. Memang penghijrahan berlaku pada semua kaum. Tetapi apakah orang Melayu sudah bersedia dengan jumlah yang sebesar itu meninggalkan negara ini pada masa akan datang?

Mengapakah kita harus kehilangan orang Melayu yang berada dan berjaya? Pada waktu yang sama apakah kita berpuas hati dengan masuknya 1.5 juta pekerja asing yang tidak punya kemahiran apalagi pendidikan sebagai ganti mereka?

Bagi saya, isunya bukan soal kesetiaan. Seperti kata Datuk Y, dia tidak kurang Melayunya kerana berhijrah ke UK. Tetapi apa yang kita rugikan ialah hilangnya lebih ramai orang Melayu yang sepatutnya memberikan sumbangan untuk memajukan bangsa mereka di negara yang pernah menatang mereka bagaikan menatang minyak yang penuh.