≡ Menu

Hutang Malaysia 100 Peratus KDNK Menjelang 2019. Sila Kurangkan Kakitangan Awam!!

Hutang Malaysia 100 Peratus KDNK Menjelang 2019. Sila Kurangkan Kakitangan Awam!!

Sekitar 2 tahun lepas ketika negara dikejutkan dengan pengumuman Datuk Seri Idris Jala (CEO Pemandu) yang mengatakan Malaysia bankrap pada tahun 2019.

hutang malaysia kdnk

Menurut kajian yang dijalankan oleh Boston Consulting Group (BCG) Malaysia akan mencapai bankrap apabila   :

  • Hutang Negara > 100% daripada KDNK
  • Defisit fiskal> 10% daripada KDNK

Pendapat seperti ini disuarakan & diperingatkan sekali lagi oleh salah seorang pakar ekonomi, Professor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff bin Abdul Kareem dan juga laporan berita mypt3 mengenai keadaan ekonomi Malaysia ketika ini termasuk hutang kerajaan malaysia sekarang ini

Hutang Negara & GDP Sama Menjelang 2019 Jika Putrajaya terus boros

Hutang Malaysia akan mencecah 100 peratus Keluaran dalam negara kasar (KDNK) menjelang 2019 sekiranya Putrajaya berterusan meminjam lebih daripada hasil pendapatan, kata pakar ekonomi. Bekas pengarah ekskutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohamad Ariff Abdul Kareem mengingatkan bahawa kadar perolehan pendapatan kerajaan pusat terlalu perlahan dan tidak mampu membayar pinjaman yang meningkat 53.1 peratus KDNK pada 2010.

Beliau berkata jumlah hutang ditanggung kerajaan tidak terlalu besar namun kadar pertumbuhan dalam beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan. Nisbah hutang-KDNK meningkat dari 41.1 peratus pada 2008 kepada 53.1 peratus pada 2010 manakala hutang kerajaan bertambah 14.6 peratus pada 2008 dan 18.3 peratus pada 2010, jauh mengatasi pertumbuhan KDNK negara, tambah Mohamad Ariff.

“Jika tiada perancangan untuk mengubah trend ini dalam perbelanjaan dan hasil negara, hutang negara akan mencecah 100 peratus KDNK menjelang 2019. “Sekiranya pertumbuhan hutang semakin laju, ini boleh berlaku tidak lama lagi,” katanya melalui emel kepada The Malaysian Insider.

Mohamad Ariff menjelaskan ketika kerajaan mengambil langkah rangsangan fiskal untuk menghadapi kegawatan ekonomi dunia yang mana ia digunakan untuk pembangunan infrastruktur terdapat keperluan untuk mengurangkan perkhidmatan awam, yang menjadi asas pengurusan perbelanjaan Putrajaya.

Katanya perkhidmatan awam Malaysia – terbesar setiap kapita di Asia Pasifik mengikut OECD – meningkat dari 23.3 peratus pada 2007 operasi bajet kepada 33.1 peratus pada 2010, meningkat kepada 41.6 peratus pada 2010 jika bayaran pencen dimasukkan.

Ini adalah beban kewangan utama kerajaan iaitu daripada kos berlebihan, pembaziran dan rasuah yang didedahkan setiap tahun oleh Ketua Audit Negara, kata seorang profesor dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF).

“Ia satu keperluan untuk kerajaan mengawal perbelanjaan yang mana ia termasuk mengurangkan perkhidmatan awam, membawa kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan tanggungjawab serta melaksanakan reformasi kutipan cukai untuk mendapat pendapatan,” kata Mohamad Ariff. Ketua Pakar Ekonomi RAM Holdings Bhd Dr Yeah Kim Leng berkata Putrajaya perlu mempunyai “kemahuan politik” untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP), yang bertujuan untuk menhentikan kenaikan defisit.

“Kita mesti melakukannya secara konsisten kerana (defisit fiskal) merupakan kelemahan utama ekonomi Malaysia,” katanya. Yeah berkata Malaysia akan berada dalam kedudukan terbaik untuk mengurangkan defisit fiskal untuk jangka masa panjang jika Putrajaya kekal melaksanakan rancangan itu tetapi mengingatkan ia berdasarkan pertumbuhan tahunan KDNK antara lima hingga enam peratus. Ini kerana mana-mana kelembapan ekonomi yang berlaku akan mendorong berlakunya potongan gaji dan kadar pengangguran lebih tinggi, yang akan memberikan impak negatif kepada hasil cukai, katanya.

“Terdapat satu hubungan antara pertumbuhan dan hasil kerajaan,” katanya menambah pengurangan setiap satu peratus dalam pertumbuhan KDNK, kutipan cukai akan menurun 0.8 petaus. “Semasa perlahan kita boleh jangkakan defisit kewangan kerajaan sebenarnya besar.”

Beliau menambah bahawa kerajaan tidak mempunyai masa untuk mengukuhkan kedudukan fiskal sebagai pendapatan daripada sektor minyak dan gas, yang membantu meningkatkan jumlah pendapatan kerajaan kira-kira 40 peratus, namun dijangka akan menurun dalam tempoh lima hingga 10 tahun kerana hasil minyak Malaysia berkurangan. (Sumber : MalaysiaInsider)

Kalau nak diikutkan sedar atau tidak, memang sekarang ini kerajaan dalam usaha untuk mengecilkan saiz bilangan kakitangan awam di Malaysia menerusi pelaksanaan exit policy yang terkandung dalam skim SBPA.

Bagi kami, jumlah askar, cikgu, polis tiada masalahnya. Cuma kalau boleh kurangkan jumlah jabatan. Kami ambil contohnya jabatan yang seringkali dilihat bertindih peranannya seperti :

  • Jabatan Belia dan Sukan vs Kementerian Pembangunan Sosial – dua-dua uruskan aktiviti untuk belia, sukan dan rekreasi runtuk rakyat
  • APMM VS  Kastam vs Polis Marin vs Jabatan Laut – Keempat-empat mereka memantau keselamatan laut dan aktiviti penyeludupan. Satu jabatan sudah cukup sebenarnya.
  • Jabatan Veterinar/Jabatan Pertanian vs Jabatan Perlindungan Hidupan Liar vs Jabatan Hutan – Tidak perlu sebenarnya 3-4 jabatan nak tengokkan spesis haiwan
  • Kementerian Pengajian Tinggi sepatutnya daripada dahulu lagi dah ambilalih MARA, Jabatan  Tenaga Kerja, Kementerian Belia dan Sukan untuk menguruskan kolej-kolej dan institut-institut pengajian tinggi
  • Kementerian Pelajaran sepatutnya mengambilalih daripada MARA, KEMAS, Permata untuk sekolah-sekolah dan tadika-tadika
  • Tekun, MARA, KPWKM, BSN dan sebagainya – Tak perlu banyak sangat agensi yang beri pinjaman perniagaan/mikro kredit.
  • Jabatan Mineral dan Geosains vs Jabatan Kesihatan vs Jabatan Bekalan Air vs pelbagai lagi agensi bekalan air yang ada sekarang ini – tak perlu banyak sangat agensi untuk melaksanakan projek bekalan air. Berikan sahaja tugas tersebut kepada Jabatan Bekalan Air sudah mencukupi sebenarnya
  • Jabatan Pembangunan Persekutuan – Paling tidak sepatutnya wujud bagi kami. Bukankah JKR sudah ada?

Kemudian, kami tidak merasakan perbelanjaan tinggi bukan disebabkan bayar gaji kakitangan awam semata, tapi lebih kepada sistemnya yang tidak betul & telus. Contohnya :

  • Peruntukan projek/tender/sebut harga kerajaan. Contohnya ada sebuah portal rasmi satu jabatan ini lebih daripada  RM100,000. Jabatan IT dah ada, kakitangan IT pun dah ada tetapi masih lagi mahu mengupah orang luar dengan harga RM100,000 sedangkan ianya hanyalah laman web biasa sahaja (CMS)
  • Sepatutnya laman web tersebut boleh dibangunkan sendiri & kos untuk dibangunkan sebenarnya jauh lebih murah. Itu salah satu contohnya. Ada pula kes kalau nak beli harga tiket kapal terbang yang Pejabat Kewangan beli ( kalau ada urusan rasmi ) biasanya sampai 2 kali ganda lagi mahal berbanding kalau beli sendiri
  • Kerajaan Terengganu Belanja Beli Itik Dan Angsa Sehingga Mencecah RM 223750?
  • Dalam kerajaan banyak berkali ganda dalam mengeluarkan perbelanjaan satu perkara yang bukan mustahil lagi. Satu pembaziran yang harus dielakkan.
  • Benda-benda seperti inilah yang menyebabkan perbelanjaan mengurus kerajaan meningkat

Tetapi yang paling kami tidak boleh terima adalah ketirisan yang melampau.  Contoh paling mudah adalah, mengapa perlu bayar komisen kapal selam Scorpene RM500 juta kepada syarikat Abdul Razak Baginda (disahkan Datuk Seri Nazri Aziz Di Dewan Rakyat)? Itu baru salah satu contoh.

Selagi mereka-mereka yang berkenaan yang mengamalkan RASUAH atau DUIT KOPI masih berkuasa di pejabat-pejabat kerajaan apatah lagi diperingkat tertinggi negara, selagi itulah masalah ini tidak dapat diselesaikan baik oleh BN ataupun PR.