Bursa Malaysia : Cadangan Bahagi Saham MITI Lebih Baik Daripada BR1M

Cadangan Bajet Pembahagian Kekayaan Bursa Malaysia Saham MITI Lebih Baik Daripada BR1M : Surat Terbuka Kepada Datuk Seri Najib Razak

Baru-baru ini blogger terkenal iaitu Faizal Yusup yang juga merupakan remisier di Kenanga Investment Bank Berhad dan telah berkecimpung dalam pasaran saham di Bursa Malaysia semenjak tahun 1996.

bursa malaysia

Beliau telah pun berkongsi idea dan pandangannya dengan harapan agar akan ada penambaikan bagi usaha-usaha yang lebih baik meningkatkan ekonomi rakyat Malaysia khususnya dikalangan bumiputera di Malaysia yang bagi Berita Semasa sendiri sangat baik dikongsikan bersama kalangan pembaca BS sendiri.

Bersama-sama ini Berita Semasa kongsikan….surat terbuka Encik Faizal Yusuf seperti yang tertera di bawah ini.

Cadangan Bajet Pembahagian Kekayaan Bursa Malaysia Saham MITI Lebih Baik Daripada BR1M

8 hb Ogos 2014

Bismillahirrahmanirrahim…

Kepada,

Datuk Seri Najib Razak
Perdana Menteri Malaysia
Menteri Kewangan 1

Datuk Seri,

PER : USAHA MENINGKATKAN EKONOMI BUMIPUTERA MELALUI PEMILIKAN EKUITI

Kehadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,

SAYA harap Datuk Seri berada dalam keadaan sihat dan tenang. Semoga Datuk Seri dilimpahkan kerahmatan dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Sebelum saya memulakan warkah ini izinkan saya memperkenalkan diri saya. Nama saya Faizal Yusup dan saya seorang remisier dari Kenanga Investment Bank berhad juga Naib Presiden Persatuan Remisier Bumiputera. Saya telah berkecimpung dalam Industri pasaran bursa saham Malaysia sejak tahun 1996. Apapun surat ini saya tulis atas kapasiti individu.

Usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera melalui pemilikan saham Malaysia sebanyak 30% sejak Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan sejak tahun 1970 oleh ayahanda Datuk Seri sehingga kini masih belum dapat dicapai walaupun setelah lebih 40 tahun ia dilancarkan. Disamping itu juga semua ketahui yang rakyat Malaysia terbelenggu dalam paras pendapatan sederhana sejak sekian lama.

Pemberian BR1M sejak 2 tahun lalu kepada kelompok golongan pendapatan rendah hanyalah sebagai cenderahati kecil yang membawa kepada kenaikan perbelanjaan kerajaan atau dalam ertikata lain ia menggunakan duit pembayar cukai pendapatan aka e filing lhdn.

Di sini saya ingin memberi satu cadangan yang mana sekiranya ia digunapakai maka saya percaya ia akan membawa kepada perubahan kepada industri pasaran modal secara total.

Salah satu pendekatan yang mudah dan praktikal ialah dengan meningkatkan ratio peruntukan saham terbitan Awam (IPO) kepada pelabur runcit ke paras yang lebih tinggi. Untuk pengetahuan Datuk Seri sebelum tahun 1997 iaitu tahun kejatuhan pasaran saham disebabkan krisis kewangan Asean nisbah peruntukan saham kepada Pelabur Runcit ialah 70% dan hanya 30% di peruntukan kepada Institusi dan pada masa itu pasaran primary IPO ini berkembang dengan pesat dan ini menyaksikan kenaikan penyertaan pelabur runcit dalam Bursa Malaysia secara mendadak. Pembelian saham IPO membawa keuntungan kepada ramai pelabur runcit termasuklah mereka-mereka yang terlibat dalam industri seperti dealer dan remisier, koperasi, syarikat yang melabur saham, syarikat pengurusan aset dan sebagainya.

Ini kerana tatkala saham IPO ini disenaraikan Institusi yang tidak mendapat peruntukan saham-saham IPO ini akan bersaing antara satu sama lain bagi mendapatkannya pada hari penyenaraian lantas mereka membelinya dari tangan para pelabur awam. Berbeza dengan pelabur awam yang jangkamasa pegangannya yang lebih pendek, Institusi membeli saham-saham tersebut bagi tujuan pelaburan jangkamasa panjang. Apa yang penting ialah saham yang dibeli itu ialah saham yang punya kedudukan kewangan yang kukuh.

Namun demikian kejatuhan pasaran bursa Malaysia disebabkan oleh kejatuhan nilai ringgit Malaysia pada tahun 1997 telah menyebabkan pasaran IPO ini menjadi layu. Setiap IPO baru yang diterbitkan mengalami kekurangan langganan dari pelabur runcit lantas sebagai jalan penyelesaian ia akhirnya diperuntukan kepada Institusi. Jadi rationya berubah dari 70% kepada pelabur runcit sekarang ia hanya tinggal lebih kurang 30% dan pelabur institusi pula menyaksikan kenaikan dari 30% kepada 70% secara kasarnya.

bursa saham malaysia papan kedua

Apapun setelah 17 tahun berlalu pelabur runcit telah mula kembali ke dalam pasaran memandangkan pendapatan dan simpanan yang telah meningkat juga disebabkan mereka tak punya tempat lain untuk melabur. Contoh pelaburan komoditi emas telah menjadi terlalu berisiko kerana harganya komoditi tersebut telah berada pada paras yang tinggi begitu juga keadaannya dengan pelaburan Properties atau Real Estate.

Di sini saya sertakan carta prestasi IPO di pasaran Bursa Malaysia berakhir pada 2 Jun 2014. Ia jelas menunjukkan prestasi kenaikan yang baik dengan premium bagi setiap penyenaraian sejak awal tahun 2013. Ada kaunter yang naik sebanyak 160% pada hari penyenaraian dan pastinya ia merupakan pelaburan yang menguntungkan dan berbaloi.

Seterusnya saya sertakan fakta dan carta IPO terbaru dan terkini REACH ENERGY BERHAD yang akan disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada 15 Ogos ini.

bursa malaysia saham

Pembahagian Kekayaan Bursa Saham Malaysia : Orang Kaya VS Orang Miskin?

Dalam Kenyataan Akhbar yang dikeluarkan pihak MIH kita dapat lihat yang 23821 orang pelabur memohon sejumlah 857,295,800 unit saham dan hanya 3,208 yang berjaya diperuntukkan sebanyak hanya 20,000,000 juta saham sedangkan syarikat ini menerbitkan sejumlah 1,000,000,000 juta saham terbitan baru secara keseluruhan. Ini hanya 2% sahaja dari keseluruhan jumlah peruntukan. Adakah 2% ini hanya sebagai sedekah amal jariah atau hanya bak kata pepatah melayu “melepaskan batuk di tangga”? Siapa pula yang mendapat sebahagian besar 980 juta saham yang lain itu?

Dengan andaian 30% diperuntukkan kepada pelabur runcit, maka peruntukan seharusnya ialah sebanyak 300,000,000 unit saham dan ia masih jauh lebih rendah dari jumlah keseluruhan permohonan iaitu sebanyak 857,295,800 unit.

Datuk Seri, bukankah meningkatkan ekonomi 23821 orang pelabur runcit jauh lebih baik dari meningkatkan jumlah 3208 orang sahaja?

Saya berpendapat dengan keadaan demografi semasa sebanyak 50% seharusnya diperuntukan kepada pelabur awam iaitu sebanyak 500,000,000 diperuntukkan kepada pelabur awam. 500 juta unit saham ini sebenarnya hanya separuh dari permohonan keseluruhan sepertimana yang kita boleh lihat dalam fakta di atas.

senarai syarikat dalam bursa saham malaysia

Senarai peruntukan 10 juta saham kepada Bumiputera

Dalam carta ini pula jelas menunjukkan hanya 14% iaitu 1,597 orang pelabur diperuntukkan 10 juta unit saham sedangkan yang memohon ialah 10,839 orang pelabur. Kebiasaannya dari pemerhatian saya dalam lingkungan 15,000 orang pelabur yang memohon sesuatu saham IPO. Mungkin ia rendah kali ini disebabkan permohonannya dibuka di musim perayaan Aidil Fitri.

Di sini juga kita dapat lihat 11 daripada 14 pelabur yang memohon sebanyak sejuta unit dengan meletakkan modal sebanyak RM750,000.00 hanya mendapat peruntukan sebanyak 11,000 unit saham sahaja. Bukankah semua ini tidak masuk akal?

Seminar Saham Super Investor

Senarai peruntukan 10 juta saham kepada Bukan Bumiputera

Datuk Seri,

Bagi peruntukan pelabur Bukan Bumiputera juga kita dapat lihat perkara yang sama berlaku. Permintaan yang jauh lebih tinggi dari penawaran. Kebiasaannya dari pemerhatian saya permohonan IPO di Bursa Malaysia bagi Bukan Bumi ini ialah sekitar 50,000 permohonan. Mungkin mereka juga berputus asa oleh sebab keadaan ini. Mungkin ia hanya membuang masa mereka untuk memohon.

Lebih teruk lagi tidak seperti kebanyakan saham-saham IPO yang lain dimana ada sebahagian saham tersebut yang diperuntukkan kepada MITI untuk diagihkan kepada pelabur Bumiputera tetapi ini tidak berlaku kepada saham ini.

Kenapa?

Pada pendapat saya dewasa ini pihak Institusi dan Bank Penasihat telah menjadi tamak dan rakus. Mereka hanya memikirkan periuk nasi mereka tanpa memikirkan nasib para pelabur yang ramai yang merupakan rakyat Malaysia yang kebanyakannya terbelenggu ekonominya tanpa ruang dan peluang yang baik untuk menjalankan pelaburan. Andai setuasi ini berlanjutan saya percaya mereka akan melabur dalam instrumen luar negara seperti Forex, Derivatif, Skim Cepat Kaya dan sebagainya yang hanya akan merugikan semua pihak.

Namun sekiranya Datuk Seri sebagai Menteri Kewangan yang pertama faham dan mengambil tindakan serta mengubah polisi peruntukan saham-saham IPO ini maka InsyaAllah ia akan mengubah landskap Industri ini secara keseluruhan. Para pelabur yang ramai baik Bumi atau Non Bumi akan mendapat keuntungannya. Para remisier seperti saya akan dapat meningkatkan pendapatan, Institusi akan tetap mendapat saham-saham mereka dari pasaran terbuka.

Cuba Datuk Seri bayangkan andai 3 billion saham Felda diperuntukkan kepada 3 juta pelabur sebanyak seorang 1000 unit saham pada harga RM4.55 dan ia dibuka pada harga RM5.30 pada hari penyenaraiannya maka setiap seorang dari 3 juta pelabur itu akan mendapat keuntungan sebanyak RM750.00 jadi bukankah ia sama sahaja seperti peruntukan BRIM? Namun demikian berbeza dengan BRIM mereka boleh memohon saham IPO yang akan datang pula dan mendapat keuntungan demi keuntungan dalam setiap IPO yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Ini akan memberikan lebih kurang RM2.25 Bilion kuasa beli tambahan yang mana boleh merancakkan ekonomi negara melalui consumer spending. Ini hanya baru satu penyenaraian!

Selain itu juga perubahan ini akan membuka mata ramai lagi pelabur runcit untuk memasuki pasaran secara tak langsung meningkatkan modal pasaran dan menjadikan Bursa Malaysia lebih kukuh dan besar hingga ia kelihatan di mata dunia. Kenaikan pasaran modal akan membawa keuntungan kepada banyak pihak dan ia juga akan menarik minat pelabur asing untuk melabur di negara yang kita cintai ini.

Oleh yang demikian, sekali lagi saya menyarankan agar satu polisi dibentuk dimana peruntukan saham IPO dinaikkan kepada 50% kepada pelabur runcit demi mencapai objektif yang telah dihuraikan dalam surat ini.

bursa saham malaysia papan utama

Sekian sahaja buat kali ini. Saya berdoa semoga surat ini dijodohkan dan sampai ke pengetahuan Datuk Seri dengan penuh pengharapan Datuk Seri mengambil tindakan ke atasnya demi kebaikan ummah khususnya dan demi kebaikan rakyat Malaysia secara umumnya.

Sebagai penutup selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin saya ucapkan. InsyaAllah saya akan ke rumah terbuka Datuk Seri di PWTC nanti.

Sekian,

Wassalam.

Ikhlas,

Faizal Yusup
www.faizalyusup.net
Founder & Speaker Seminar Saham Super Investor
www.seminarsaham.com.my
016-6667430

Blog Faizal Yusup