≡ Menu

Adakah Pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia Menjadi Realiti Atau Impian Semata?

Adakah Pelaksanaan Hukum Hudud di Malaysia Menjadi Realiti Atau Impian Semata?

Sejak akhir-akhir antara isu lain selain daripada isu Lim Guan Eng memburukkan negeri Johor di luar negara, satu lagi isu yang mendapat “perhatian” media-media arus perdana ialah pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

hukum hudud

Bagi kami hukum hudud patut dilaksanakan di Malaysia. Tetapi bukannya terus laksanakan bulan depan, bukannya minggu depan pun apatah lagi esok hari. Buat secara perlahan-lahan.

Setiap pelaksanaan ada prosesnya daripada segi melakukan kajian, pembentangan & juga perdebatan. Langkah demi langkah. Yang penting terdapat inisiatif terutamanya daripada “pihak-pihak yang bertanggungjawab” untuk bermula.

“Jika tiada permulaannya, masakan boleh ada pengakhirannya”

Setakat cakap, saya bersetuju dan mengakui hukum hudud seperti yang disyariatkan oleh Islam tetapi tiada nampak kesungguhan dalam pada melaksanakannya. Tiada gunanya juga bukan?

“Kalau nak tunggu sambil makan tidur sahaja…100 tahun lagi pun takkkan jadi”

Bagi kami pelaksanaan hukum hudud di Malaysia boleh dijayakan asalkan kita berpegang kepada pepatah :

“Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih”

Kalau kita tak buat salah, kenapa perlu banyak alasan untuk melaksanakannya atau paling kurang ada langkah yang bersungguh di peringkat permulaannya? Cuma masalahnya sekarang, terdapat beberapa halangan untuk melaksanakannya hukum hudud di Malaysia. Antaranya ialah :

Halangan Laksanakan Hukum Hudud di Malaysia

  • Negeri Kelantan contohnya tak boleh laksanakan hukum hudud di Kelatan kerana bertentangan dengan perlembagaan Lord Reid (Perlembagaan Malaysia). Jikalau Kelantan mulakan hudud tanpa persetujuan kerajaan pusat, pihak kerajaan pusat akan mengambil tindakan tindakan daripada segi perlembagaan. 
  • Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa sebarang undang-undang negeri yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlawanan dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri itu adalah terbatal setakat mana ia berlawanan dengan undang-undang persekutuan itu.
  • “Di atas kertas”, kami melihat sukar nak laksanakan hukum hudud di Malaysia kerana Malaysia menggunapakai sistem demokrasi berparlimen. Sebagai pindaan perlembagaan bagi akta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang memerlukan 2/3 persetujuan ahli parlimen. Ahli parlimen Islam yang ada sekarang hanyalah 132 orang yang mana ia memerlukan 16 lagi ahli parlimen yang bukan beragama Islam untuk mencapai majoriti 2/3 dalam dewan parlimen. Kalau ikut rasionalnya, agak sukar orang bukan Islam untuk bersetuju. Sedangkan yang beragama Islam ada juga yang tak bersetuju, inikan pula orang kafir?
  • Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355)  membataskan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan sebarang undang-undang berkaitan jenayah syariah dengan hanya boleh mengenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali sebatan, atau mana-mana kombinasi hukuman-hukuman tersebut sahaja. Ia adalah satu undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen dan ia berkuatkuasa di seluruh Persekutuan atau seluruh negara, termasuk di negeri-negeri.

Segala rintangan/halangan yang disenaraikan  seperti di atas hanyalah bersifat teknikal sahaja. Tetapi….tetapi dengan strategi dan taktik tertentu, boleh sahaja utntuk mengatasinya. Kita yang tentukan, jika kita berkehendakkanya. Kalau hari ini tak sesuai, usahakan supaya dapat dibuat pada masa depan sehinggalah berjaya terlaksana. Itu pun kalau nak. 

Bersama-sama ini kami suka untuk berkongsi pendapat bekas mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) mengenai isu pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

Dr Asri: Kuat kuasa hukum hudud perlukan tafsiran baru

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkatapelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat. “Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan sunah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat,” kata beliau.

Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini, kata beliau sambil menambah, “cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan.” “Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira,” kata beliau lagi. Katanya, ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini.

“Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir,” kata beliau lagi. Jelas
beliau, hukuman rejam pula patut mengambil kira pandangan yang memasukkannya di bawah takzir bererti pemerintah boleh meminda dan menukar atau membatalkannya.

Di samping tafsiran ihsan itu hendaklah disempitkan kepada maksud lelaki ataupun perempuan yang masih berkahwin bukan yang pernah berkahwin, kata Asri dalam kertas kerja pada Seminar Syariah Peringkat Kebangsaan di Kota Baru hari ini. Kelantan kerajaan pimpinan PAS bercadang untuk melaksanakan hukum hudud selepas menerajui negeri itu pada 1990.

“Ini kerana pengkhianatan kepada pasangan dan keluarga sesuatu yang amat buruk. Di samping takzir, hukuman rejam mempunyai suasana zaman yang berbeza, itupun perlu diambil kira dalam membahaskannya,” kata beliau lagi. Asri menambah, jika suasana kondusif, perubahan zaman dan tempat diambil kira dalam pelaksanaan hukuman, maka akan didapati hudud mencapai matlamat pencegahan, pendidikan dan dalam masa yang sama menonjolkan keindahan hukuman tersebut.

“Jika tidak, hukuman itu akan membawa fitnah dan salah sangka terhadap Islam. Saya selalu sebutkan hudud bagaikan wanita yang baik, ia akan indah jika bersuamikan lelaki yang baik. Namun keindahannya akan hilang jiwa berada di bawah suami yang fasik dan rosak,” kata tokoh agama yang dilihat progresif ini.

Dalam kertas kerja itu, Asri juga berkata menggambarkan negara Islam atau ‘design’ negara yang diperintah oleh Allah dan rasul- Nya sebagai negara hudud adalah gambaran tidak tepat. Oleh itu kata beliau, hudud bukan asas kenegaraan dalam Islam kerana asas kenegaraan dalam Islam menegakkan keadilan dan maslahatan negara berasas prinsip-prinsip al-Quran dan Sunah. “Keadilan dan kemaslahatan rakyat itu luas maksudnya, dan luas juga cara mencapainya. Tugas kepimpinan negara melaksanakan yang makruf iaitu segala unsur kebaikan dan kemaslahatan untuk rakyat.

“Dalam masa yang sama mencegah yang mungkar iaitu segala unsur yang membawa kemudaratan dan kemerbahayaan kepada rakyat,” kata beliau. Katanya, penafsiran perkataan ‘makruf’ dan ‘munkar’ hendaklah diluaskan dalam konteks kehidupan muslim secara umum dan kenegaraan secara khususnya. Oleh itu katanya, keadilan ditegakkan merentasi batasan keturunan, pangkat dan kaum. “Tiada beza antara hukuman terhadap sultan atau raja dengan rakyat biasa. “Tiada beza antara orang besar dan orang bawah. Kemakmuran negara juga dibahagi secara adil dalam kalangan rakyat. Tiada rasuah, tiada salah guna kuasa,” kata beliau sambil menambah, “kepentingan setiap individu dalam negara dipelihara, kemaslahatan mereka dijaga.”

Malah katanya, kebajikan negara meliputi setiap lapisan rakyat atas kebaikan itu dengan rakyat mendoakan pemerintah, pemerintah mendoakan rakyat. “Suasana cinta dan kasih tersebar secara meluas,” katanya. Asri juga berkata, pelaksanaan hudud hendaklah mengambil kira persoalan suasana hudud itu dilaksanakan kerana suasana yang tidak kondusif akan menyebabkan kesan negatif kepada pelaksanaan sesuatu hukuman. “Ini kerana Nabi s.a.w sendiri mengambil kira persoalan ini,” katanya.

Katanya ia bermakna pelaksanaan hudud yang membawa kepada umat Islam lari atau salahfaham terhadap Islam, atau Islam ditohmah dengan tuduhan liar sehingga menggugat keimanan umat Islam yang lain patut dielakkan. “Hari ini suasana berubah, media massa sering digunakkan untuk memberikan imej yang salah mengenai Islam. Persediaan ke arah menangani hal itu juga amat penting,” katanya. Katanya, Nabi s.a.w sebelum menegaskan tentang hudud, baginda mengujudkan suasana keadilan yang menyeluruh dalam masyarakat yang diperintah oleh baginda.

“Pemerintah dan rakyat sama setaraf di hadapan undang-undang. “Tiada diskriminasi keturunan dan latar belakang. Suasana kebajikan; bantu-membantu, tolong-menolong antara masyarakat yang kukuh,” kata beliau sambil menambah, “jaminan hak rakyat yang diberikan iaitu berkaitan dengan suasana halal yang mudah; mudah berkahwin, talak, fasakh, khuluk dan selainnya.”

“Tiada alasan untuk lelaki ataupun wanita berzina. Sementara suasana haram yang diketatkan; sukar mendapat dan menebusi perkara haram. “Apabila suasana seperti ini wujud, maka tiada alasan rakyat memilih yang haram. Jika ada memilih yang haram juga, maka memang layak dihukum; pertama kerana dia telah mencemarkan suasana harmoni yang telah diwujudkan. Kedua; dia mempunyai penyakit jiwa yang berat yang condong memilih buruk sekalipun sukar dan menolak yang halal sekalipun mudah,” kata beliau.

Malah menurut Asri, perjuangan penting pada hari ini ialah mewujudkan suasana yang kondusif sebelum sesuatu undang-undang ini dilaksanakan.

Kami agak bersetuju dengan Dr. Maza. Jangan menghukum sewenangnya. Kalau negara ini Islam diterima sebagai satu cara hidup dan kefahaman Muslim tentang Islam serta hak hidup sebagai Muslim, maka hukum Hudud ni dah sesuai dah sebab ini pencegahan dan peringatan. Bila nak curi, teringat…”saya ni Muslim dan saya takut Allah”. Tetapi, kalau Muslim sendiri tertutup hati nak menerima (takut…takut diri sendiri yang terkena) ditambah pulak non muslim yang tak faham langsung pasal Hudud, bagaimanalah agaknya nak laksana hukum hudud di Malaysia? Yang mana masih tak faham atau buat-buat tak faham, maknanya orang akan terus menghukum katakan Islam tu kejam, berat sebelah (sedangkan Hudud diarahkan Allah untuk menjaga hak kehidupan Muslim).

Kami cukup tak bersetuju sehinggakan isu ini pun nak dipolitikkan. Yang menjadi masalah sekarang, ramai betul yang nak jadi batu api berbanding daripada menunjukkan kesungguhan untuk sokongan bagi melaksanakannya kerana lebih suka isu ini menjadi panas sehingga dilihat mampu memberikan keuntungan daripada segi politik. 

Bezanya di sini terdapat 2 kelompok :

  • Setuju dengan hukum Allah ini tetapi mengatakan hukum hudud di Malaysia tidak boleh dilaksanakan kerana katanya tidak sesuai
  • Setuju dengan hukum Allah ini tetapi dalam pada masa yang sama ada kongsikan bagaimana nak menuju ke arah pelaksanaan hudud di Malaysia

Seperti yang Dr. Maza katakan yang mana pelaksanaan hukum hudud di Malaysia tidak akan relevan selagi Malaysia mengamalkan ‘demokrasi sekular’. Malaysia bukan ‘negara Islam’. Malaysia negara Komanwel. Menggunakan ‘common law’ (bukan syariah/al-Quran) sebagai asas pembentukan perlembagaan persekutuan. Memandangkan umat Islam di Malaysia adalah majoriti (60.4%), Islam dijadikan agama rasmi. Perlaksanaan syariah hanya untuk permasalahan keluarga, kemasyarakatan, isu-isu yang melibatkan umat Islam dan sebagainya. Selain itu, ikut undang sivil. 

Kedudukan Mahkamah-mahkamah di Malaysia adalah seperti berikut :

  • Mahkamah Persekutuan (paling tinggi)
  • Mahkamah Rayuan
  • Mahkamah Tinggi
  • Mahkamah Syariah (untuk umat Islam sahaja)

Hudud itu amat indah, penuh pengampunan, penuh pilihan dan melangkau zaman. Non-muslim tak perlu risau, sbb hudud tak wajib kpd mereka melainkan terlalu “jahat”. Itupun bergantung kepada hakim dan tak ada syubhah. Hukum Hudud lebih banyak dan lebih canggih berbanding hukum sivil. Dah lebih 1,000 tahun dulu dah dikembangkan dan dibincangkan secara intensif.

Janganla cepat putus asa. Kalau hudud itu betul undang-undang daripada Allah, tentulah ada keberkatannya. Tentulah boleh dilaksanakan dengan jayanya. Kalau tak boleh buat hari ni, cuba pula buat pelan jangka panjang….. 20 tahun ke. Sedangkan nak jadi negara maju pun ada wawasan itu, wawasan ini. Ada dasar A, ada dasar B, nak reformasi sosio-ekonomi yang rumit tu pun boleh buat DEB berpuluh-puluh tahun. Sekarang pula nak tukar Malaysia menjadi jadi negara berpendapatan tinggi.  Semua itu bukan tugas yang senang & mudah nak buat, bukan? 

Jadi apa bezanya dengan hudud? Boleh sahaja kalau nak buat dalam tempoh jangka panjang. Yang penting, kenala ada kesungguhan. 

P/S : Dan…sekarang kami nak utarakan persoalan ini kepada anda pula, setujukah dan juga mampukah Malaysia laksanakan hukum hudud di Malaysia pada masa akan datang?