≡ Menu

Beban Guru Tugas Sekolah : Makin Bertambah 10 Jam Sehari


Beban Guru Tugas Sekolah Masa Kini Makin Bertambah (10 Jam Sehari), Kenaikan Pangkat Tidak Adil, Kemudahan Sangat Terhad!

Sebelum ini sudah ada isu dan aduan masalah berkaitan guru seperti (DI SINI).

beban guru

Kita akan mendengar permasalahan yang menimpa kalangan guru-guru hari ini, dan tidak mustahil kita mungkin akan terus mendengar permasalahan seperti ini ini pada masa akan datang selagi segala isu yang berkaitan guru-guru Malaysia hari ini tidak diselesaikan secara tuntas.

Berita Semasa ada menerima aduan daripada kalangan guru termasuklah surat aduan terbaru yang dihantar kepada kami.

Antara isu-isu yang berbangkit adalah seperti :

  • Masa kerja guru, beban guru yang semakin bertambah,
  • Pengetua/Guru Besar yang tidak kompeten,
  • Sistem kenaikan pangkat yang tidak adil
  • Kursus Upskilling guru
  • Situasi tempat kerja yang tidak kondusif
  • Kekurangan peralatan ICT dan ABM .

Beban Guru Tugas Sekolah : Surat Aduan Guru Malaysia

Suara rintihan atau isu beban guru sering kedengaran sejak berpuluh tahun tetapi sehingga kini tidak pernah selesai. Memang tidak dinafikan ada tindakan penyelesaian diambil tetapi ianya banyak yang bersifat ad hoc dan political.

Berbagai kajian telah dijalankan oleh KPM sendiri misalnya tentang beban tugas guru seperti pajsk, ssdm, apdm tetapi penyelesiannya bukan mereka meringankan beban malah ditambahkan lagi beban kerja hingga lebih berganda. Lebih ironi lagi ialah tidak ada satu badan atau kesatuan pun yang bertindak atau mewakili semua guru. Sebagai contoh NUTP dan KGLM selaku kesatuan yang disertai oleh ramai guru hanya memperjuangkan guru-guru lepasan maktab sahaja.

Oleh kerana projek pensiswazahan guru, maka lulusan maktab telah dinaikkan status mereka secara ‘magic’ dan automatic kepada siswazah. Laluan kenaikan pangkat guru bagi golongan mereka lebih mudah dan pendek iaitu formula 8: 8: 5 berbanding dengan guru siswazah dengan formula ‘time-based’ 8: 8: 6: 3. Mereka juga berjaya’melangkah kepala’ guru-guru berijazah tulen walaupun yang ‘super senior’ dalam urusan kenaikan pangkat seperti menjadi GPK, pegawai di PPD, JPN, KPM dan menjadi Pengetua. Lalu kesatuan-kesatuan ini terus menuntut keistimewaan mereka sebagai siswazah pula dengan ‘mengabaikan’ lulusan siswazah yang sebenar.

Dalam semua profesion, hanya keguruan sahaja yang tidak ada ditetapkan masa kerjanya. TIDAK ADA SATU PIHAK pun yang memperjuangkan hak-hak guru dalam hal ini. Pada November 2012 kerajaan telah mengumumkan sistem waktu bekerja 9 jam untuk para guru dimana Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak telah menjadi negeri perintis selama enam bulan sebelum ianya diperluaskan ke seluruh Malaysia. Oleh kerana mendapat tentangan daripada pelbagai pihak dan dari Kesatuan Guru, pada 28hb November 2012, Timbalan, Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan telah membatalkan perlaksanaan sistem ini.

Sebagaimana kerajaan pernah mengumumkan penghapusan yuran sekolah dalam bajet 2008, para ibubapa terpaksa membayar sejumlah wang yang berkali ganda dari jumlah yuran sekolah itu sendiri. Perkara yang sama berlaku pada masa kerja guru. Sebelum 2012, kebanyakan guru sekolah menengah harian biasanya balik pada jam 2.30 petang. Sejak awal 2012, terdapat pengetua yang mengarahkan guru bekerja sehingga jam 3 petang. Malangnya guru hanya balik pada jam 3 petang Itu hanya untuk satu atau kadang-kadang 2 hari sahaja dalam seminggu. Selebihnya mereka pulang sehingga lewat jam 6.00 petang.

Jadi secara puratanya guru bekerja selama 10 jam dari Isnin hingga Khamis. Ini belum diambilkira beban guru yang dibawa pulang ke rumah.

Beban Tugas Guru dan Masa Bertambah : Kesan-kesannya?

Secara teorinya minda para guru akan lega sebaik sahaja mereka keluar dari pintu pagar sekolah. Oleh kerana pulang lebih lewat, mereka akan berfikir tentang banyak perkara khususnya guru perempuan iaitu tanggungjawab pada suami dan anak-anak. Ini mengakibatkan gangguan psikologi kepada guru dalam bentuk stress atau tension kerana beban kerja yang makin bertambah dan tekanan kerana tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai suami/isteri secara normal.

Guru terpaksa berbelanja lebih membayar kepada ‘baby sitter’ setinggi RM15 bagi setiap tambahan 1 jam selepas jam 3 petang sebagaimana hari-hari biasa.

Apabila pulang sama (malah lebih lewat) dari waktu pejabat, jalanraya yang sesak pada ‘peak hour’ menyebabkan guru lewat sampai ke rumah. Solat Asar dilakukan di penghujung waktu.

Oleh kerana kami tiba lewat ke rumah, rutin kehidupan di luar kami hampir musnah. Jogging, bawa anak makan angin petang, berkebun dan sebagainya sudah sukar untuk dilakukan.

Pengetua-pengetua yang berkursus di Institut Aminudin Baki (IAB) seolah-olah di ‘brainwash’ oleh IAB agar melaksanakan perjumpaan satu hari dalam seminggu dengan guru-guru semata-mata mahu mendengar celoteh KATUN mereka yang membosankan dan tidak berfaedah. Ironinya perjumpaan ini mengambil masa sehingga 3 jam. Kandungan perjumpaan berkisar sekadar mendengar motivasi dungu yang tidak bermutu dan meminta para guru berkongsi ilmu yang tidak kami minta dan hargai sama sekali. Perjumpaan/mesyuarat ini hanya boleh berakhir dalam masa 15 – 30 minit sahaja. Tetapi aduan rakan-rakan dari sekolah-sekolah yang lain adalah senada iaitu pengetua banyak cakap merapu dan tidak ada walaupun ‘basic skill’ dalam mengendalikan mesyuarat. Oleh itu para guru merasa tertekan duduk berjam-jam dalam mesyuarat.

Bagi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula, guru memperuntukkan sekurang-kurangnya 2 jam bagi menyelesaikan beban tugas guru yang diberikan kepada mereka setiap minggu. Ini tidak diambilkira masa yang digunakan oleh mereka dirumah. Seorang guru biasanya diberi dua (2) sehingga empat(4) kelas PBS.

Beban Tugas Guru (Kelemahan-kelemahan Sistem PBS)

Kemudahan ICT sekolah amat mendukacitakan. Dalam sebuah sekolah yang purata bilangan gurunya ialah 80 orang, hanya ada dua(2) atau tiga (3) desktop sahaja. Oleh itu hampir SEMUA guru menggunakan laptop/harta mereka sendiri untuk menjalankan kerja kerajaan. Malangnya kerajaan sanggup bagi laptop percuma pada pelajar dan membiarkan guru dalam kerumitan mereka sendiri. Hanya profesion guru sahaja di mana mereka terlalu banyak menggunakan wang dan harta sendiri untuk buat kerja kerajaan.

Beban tugas guru tidak terhenti setakat itu sahaja. Oleh kerana guru tidak dibenarkan mencari pendapatan sampingan, mereka terpaksa meminjam untuk membeli laptop bagi melaksanakan tugas yang dibebankan kepada mereka. Harga laptop RM1500- RM2000., guna kad kredit atau hutang dan bayaran bulanan sehingga RM60 sebulan.

Capaian internet/schoolnet yang amat lemah menyebabkan guru terpaksa guna streamyx atau broadband. Bayaran sebulan ialah dari RM48 hingga RM148 sebulan.

Peruntukan masa yang terlalu lama oleh guru untuk mendaftar pencapaian pelajar secara online (kerana capaian internet yang lemah) dan pengurusan PBS yang lainnya menyebabkan mereka terpaksa melaksanakan sebahagian kerja ini di rumah. Sebagaimana yang pernah didedahkan dalam akhbar, kami terpaksa berjaga sehingga jam 3 atau 4 pagi untuk menyelesaikan lambakan beban tugas guru termasuklah kerja-kerja PBS.

Kesan kepada situasi ini ialah terjejasnya sistem rumahtangga dan hubungan suami isteri sehingga membawa kepada pertengkaran. Masa yang selama ini dihargai dengan membelai anak-anak sudah berkurangan dan berlaku pertelingkahan suami isteri kerana isteri (guru) terpaksa tidur lewat dan mengabaikan anak/suami kerana PBS.

Kami pernah menghantar email kepada pihak Kementerian dan NUTP tetapi respon mereka sekadar menyiasat sahaja dan tiada tindakan. Nampaknya seolah-olah ada agenda yang tersirat dari KPM yang memang berhasrat untuk melaksanakan sistem kerja 9 jam secara senyap-senyap. Malangnya tidak ada mana-mana badan yang berani menyuarakan keadaan ini. Sebenarnya perkara ini bukan sahaja berlaku di Kuantan malah seluruh Malaysia. Oleh yang demikian, kami amat berharap pihak tuan dapat melakukan sesuatu bagi kebaikan semua guru yang selama ini tidak mendapat perhatian serius dari pihak yang berkenaan.

Apa kata kalangan guru sekolah di Malaysia sekarang mengenai isu beban guru sekolah masa kini? Suarakan pendapat dan masalah anda bersama di sini…